KPDNHEP Komited Untuk Bangunkan Ekosistem Perdagangan Berasaskan Etika Dan Kepentingan Pengguna

PUTRAJAYA, 5 MEI 2020 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan untuk setiap syarikat yang terpilih dalam menjalankan perkhidmatan penentusahan timbang atau sukat atau alat timbang atau sukat menyediakan 34 premis di setiap negeri bagi memudahkan akses kemudahan perkhidmatan penentusahan alat timbang dan sukat di seluruh negara bagi membangunkan ekosistem perdagangan berasaskan etika dan kepentingan pengguna.

KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa telah mengawal selia Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] sejak 1 Januari 1981. Penguatkuasaan Akta 71 dijalankan oleh Inspektor Timbang dan Sukat untuk memastikan timbang dan sukat dan alat timbang dan sukat yang digunakan untuk tujuan perdagangan ditentusahkan.

Perkhidmatan penentusahan Timbang atau Sukat atau Alat Timbang atau Sukat dijalankan oleh syarikat swasta untuk memperkasakan penguatkuasaan perundangan menerusi pengasingan kuasa di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

Penguatkuasaan Akta 71 dijalankan oleh Inspektor Timbang dan Sukat manakala perkhidmatan penentusahan dijalankan oleh syarikat yang dilesenkan Kerajaan. Selain itu, kelulusan bentuk dan spesifikasi alat timbang dan sukat dilaksanakan oleh Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (SIRIM) .

”Melalui kaedah pelaksanaan pengasingan kuasa dan fungsi menyebabkan Malaysia mendapat pengiktirafan daripada International Organization of Legal Metrology (OIML) dan dianugerahkan OIML Award for Excellent Achievement in Legal Metrology pada tahun 2018 di Hamburg, Germany,” ujar Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Alexander Nanta Linggi.

“Manakala Peraturan-Peraturan Timbang dan Sukat 1981 pula bertujuan untuk mengawal selia pemegang Lesen Timbang dan Sukat yang menjalankan perkhidmatan baik pulih alat timbang dan sukat milik peniaga serta fi penentusahan Timbang atau Sukat atau Alat Timbang atau Sukat,” tambahnya ketika berucap di sesi penyerahan lesen syarikat yang dilantik menjalankan perkhidmatan penentusahan timbang atau sukat atau alat timbang atau sukat di sini, hari ini.

Dua syarikat yang berjaya melalui tatacara perolehan tender terbuka hari ini menerima lesen masing-masing yang disampaikan Dato’ Alexander. Dua syarikat tersebut adalah Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd dan De Metrology Sdn. Bhd untuk tempoh selama lima tahun mulai 5 April 2020 dan berakhir pada 5 April 2025.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri), Dr. Alauddin Sidal, Pengarah Penguat Kuasa, Dato’ Haji Iskandar Halim Sulaiman dan beberapa Pengarah Bahagian KPDNHEP.

Menurut Dato’ Alexander lagi, pelantikan dua syarikat ini adalah wajar untuk meningkatkan persaingan yang sihat dalam menjalankan perkhidmatan penentusahan di samping memberi pilihan kepada peniaga untuk memperoleh perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti.

Sumber Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

en_USEnglish