Padah menipu, empat premis timbang sawit diarah tutup

LUMUT: Empat Pusat Pengumpulan dan Pembelian buah sawit di daerah Manjung dikenakan tindakan tegas termasuk diarah tutup selepas didapati menipu ketika menimbang buah sawit yang dihantar ke premis berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, satu daripada empat premis itu diarahkan tutup serta-merta.

“Beberapa peralatan seperti satu set komputer (PC) dan alatan timbangan pula telah disita, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tiga premis pula dikenakan kompaun oleh KPDNHEP dan notis kompaun oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata, keempat-empat premis itu juga disiasat di bawah  Seksyen 20a (1) (e) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu membuat apa-apa perubahan kepada apa-apa timbang atau sukat atau alat timbang atau sukat selepas ia ditandakan dengan cap sehingga menyebabkannya menjadi tidak betul atau tidak tepat.

Katanya, sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM40,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

Menurutnya, semua premis tersebut juga disiasat mengikut Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Timbang dan Sukat 1981 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara bagi suatu tempoh maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala lesennya pula boleh dibatalkan. 

Pada masa sama, katanya, mereka juga disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit 1998 dan peraturan-peraturan subsidiari di bawahnya. 

Saifullizan berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya dengan kerjasama MPOB, Cyber Security Malaysia dan syarikat dilantik untuk penentusahan timbangan menjalankan Operasi Manipulasi Timbangan Sawit di sekitar daerah Manjung hari ini.

Katanya, operasi itu bertujuan untuk menyemak dan menyukat peralatan timbangan yang digunakan oleh Pusat Pengumpulan dan Pembelian buah sawit bagi memastikan peralatan timbangan digunakan telah ditentusahkan oleh syarikat yang dilantik. 

Menurutnya, operasi itu melakukan pemeriksaan di lima premis yang disyaki melakukan penipuan itu, bagaimanapun satu daripadanya didapati tidak melakukan kesalahan.

“KPDNHEP Negeri Perak memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pusat pengumpulan dan pembelian atau mana-mana peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan terhadap penyelewengan timbangan buah sawit ini. 

“Ingin ditegaskan juga kepada mana-mana pembaik yang mempunyai lesen sah daripada KPDNHEP supaya tidak sesekali melakukan kesalahan ini kerana boleh menyebabkan proses pembatalan lesen boleh dilakukan kepada mereka,” katanya.

Beliau juga menasihati serta menyeru pekebun buah sawit dan orang awam yang mempunyai maklumat aktiviti penyelewengan timbangan untuk tampil mengemukakan aduan dan maklumat kepada pejabat KPDNHEP.

Katanya, mereka juga boleh menghubumgi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Perak 05-2414611;  Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) 03-8882 6088 / 03-8882 6245; Portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my); Call centre 1 800 886 800; e-mel ke e-aduan@kpenhep.gov.my dan WhatsApp KPDNHEP di talian 019-279 4317. – UTUSAN

en_USEnglish