KPDNHEP rampas alat timbang dan sukat RM349,603

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (kiri) menyerahkan alat timbang dan sukat yang diagihkan secara percuma kepada peniaga buah di Kampung Gaung, Kuala Berang. – Foto NSTP/Baharom Bakar

KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas alat timbang dan sukat mengelirukan pengguna bernilai RM349,603 di seluruh negara sejak awal tahun hingga semalam.

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid, berkata rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas 337,546 premis perniagaan.

Beliau berkata, seramai 2,729 peniaga dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan dan dikenakan kompaun berjumlah RM378,500.

“Peniaga diingatkan tidak membeli alat timbang dan sukat dalam talian kerana kebanyakan peralatan itu tidak mengikut piawaian ditetapkan,” katanya.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengagihan alat timbang dan sukat secara percuma kepada 46 peniaga buah di Ajil dan di Kampung Gaung, di sini, hari ini.

Beliau menyerahkan 30 alat timbang dan sukat jenis digital dan 16 jenis neraca spring yang keseluruhan bernilai RM13,500.

Rosol berkata kerajaan menyedari harga alat timbang dan sukat yang dijual melalui dalam talian lebih murah.

“Alat timbang dan sukat perlu diselenggara setiap tahun dan menjadi kesukaran kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan penyelenggaraan peralatan yang dibeli melalui dalam talian,” katanya.

Sumber : BH Online

ms_MYBahasa Melayu