Tiga peniaga kedai runcit dikompaun RM500 dan RM1,000

KUANTAN: Tiga peniaga runcit di daerah ini dikompaun serta-merta selepas gagal mempamer tanda harga serta menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Dua kes dikesan di Taman Tas, di sini, semalam apabila peniaga berusia 35 dan 55 tahun, masing-masing melakukan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Bagu kesalahan mengikut ATS 1972, kompaun RM500 dikenakan, manakala RM1,000 untuk kesalahan mengikut AKHAP 2011.

Sehari sebelum itu, di Jalan Bukit Ubi, di sini, seorang peniaga berumur 43 tahun turut dikompuan RM1,000 mengikut AKHAP 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga pada gas petroleum cecair (LPG) yang dipamerkan untuk dijual.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kedai runcit, pasar raya dan pasar awam untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Sekiranya ingkar, tindakan tegas dikenakan terhadap mereka. Jadi untuk mengelak dikompaun, lebih baik mereka mematuhinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas bekalan barang keperluan asas, katanya setakat ini orang ramai tidak perlu bimbang kerana segalanya mencukupi dan mampu menampung keperluan sepanjang Ramadan.

Beliau turut mengingatkan peniaga suapaya tidak menaikkan harga jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Sumber : BH Online