Pastikan alat timbang, sukat ada pelekat penentusahan

PERIKSA:Tan melakukan ujian alat timbang dan sukat menggunakan besi pemberat yang sah di sebuah gerai peniaga di Medan Niaga Satok di sini, semalam. — Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING:  Orang awam terutama pengguna dinasihati memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan peniaga mempunyai pelekat bagi menentusahkan alat berkenaan semasa mereka membeli barang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, ia kerana peniaga yang menggunakan alat timbang dan sukat tetapi tidak mempunyai pelekat terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Pengguna khasnya yang pergi ke kedai atau gerai untuk membeli barang yang menggunakan alat timbang dan sukat perlu memastikan alat berkenaan mempunyai pelekat sebagai ditentusahkan penggunaannya.

“Setiap pelekat yang dikeluarkan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd ini tertulis seperti tarikh luput penentusah, kapasiti penimbangan selain nombor siri,” katanya pada sidang media selepas program pemeriksaan alat timbang dan sukat di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Menurut Tan, peniaga yang didapati tidak menggunakan alat timbang yang ditentusahkan dengan pelekat itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 yang membawa denda tidak melebihi RM40,000 atau di penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya dan alat timbang dan sukat boleh dirampas.

Menurutnya, alat timbang dan sukat berkenaan pada kebiasaannya mempunyai tempoh setahun penentusahnya daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, orang ramai perlu memastikan alat timbang yang digunakan peniaga mempunyai pelekat terbabit kerana ia telah ditentusahkan menggunakan pemberat standard oleh Metrology Corporation.

Mengulas lanjut, katanya sejak Januari hingga 16 Mei lepas KPDNHEP Sarawak mencatatkan  137 kes berkaitan peniaga yang melanggar Akta Timbang dan Sukat di seluruh negeri.

“Daripada itu, kita berjaya merampas alat timbang dan sukat bernilai RM68,725.50 dengan nilai kompaun RM27,950 telah dikenakan.

“Kita mengenakan kompaun dan merampas alat timbang dan sukat serta-merta di lokasi pemeriksaan,” katanya.

Mengenai program yang diadakan itu semalam, katanya ia merupakan aktiviti turun padang oleh kementerian untuk memastikan semua alat timbang dan sukat digunankan peniaga ditentusahkan.

“Hasil pemeriksaan kita di Medan Niaga Satok semuanya adalah baik dan mengikut peraturan dan selepas ini kita akan mengadakan pemeriksaan yang sama di tempat lain termasuk di Pasar Stutong,” katanya.

Sumber : Utusan Borneo Online

ms_MYBahasa Melayu